Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Lelaki ditahan dipercayai terlibat 21 kes penipuan pelaburan forex

Lelaki ditahan dipercayai terlibat 21 kes penipuan pelaburan forex
MOHD KAMARUDDIN: Suspek menyasarkan penjawat awam sebagai mangsa penipuan, disebabkan kemudahan penjawat awam memperolehi pinjaman kewangan. - Bernama
JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai terlibat dalam 21 kes penipuan penawaran pelaburan forex tidak wujud, yang melibatkan jumlah kerugian keseluruhan bernilai RM1.694 juta.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata lelaki berumur 30-an itu ditahan pada pukul 2 petang semalam di kawasan Seri Alam, selepas polis menerima 21 laporan berhubung jenayah terbabit, tahun lepas.
"Pada tahun lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor menerima 21 laporan polis daripada mangsa yang terdiri daripada penjawat awam, mengenai penipuan menawarkan pelaburan forex yang tidak wujud, dijalankan oleh suspek yang bekerja dengan sebuah bank tempatan.

"Suspek menyasarkan penjawat awam sebagai mangsa penipuan, disebabkan kemudahan penjawat awam memperolehi pinjaman kewangan," katanya menerusi kenyataan di sini Sabtu malam.
Mohd Kamarudin berkata daripada 21 laporan terbabit, tujuh daripadanya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, IPD Johor Bahru Selatan (9), IPD Kulai (4) serta IPD Mersing (1).

Beliau berkata sebanyak 21 kertas siasatan dibuka, dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya lelaki terbabit akan didakwa secara berperingkat bermula esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Kulai dan Mersing.

Sehubungan kejadian itu, polis menasihati masyarakat supaya menyemak dengan Bank Negara Malaysia terlebih dahulu, sama ada sesuatu pelaburan tersebut didaftarkan dan diberikan kebenaran untuk menerima sebarang bentuk wang deposit, sebelum menyertai sebarang bentuk pelaburan.

Selain itu, masyarakat juga diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan janji manis seperti akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda, yang ditaburkan suspek kepada mangsa, katanya.

-- BERNAMA


Tag: Bank Negara Malaysia, Johor Bahru, Mahkamah Majistret, penjawat awam, Bank Negara



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.