Seorang lelaki bertindak biadap apabila sengaja meludah ke arah butang lif di pangsapuri Blok Idaman Melur, Lintang Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Tindakan lelaki itu bagaimanapun berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam lif berkenaan dan kini tular di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan ramai.

Menerusi video berdurasi 0.40 saat itu, kelihatan seorang lelaki berbaju merah memasuki lif sebelum meludah ke arah butang nombor.

Perbuatan individu berkenaan akhirnya membawa padah apabila dia kemudiannya ditahan setelah polis selepas menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang bimbang dengan kesihatan penduduk berhubung penularan jangkitan COVID-19 ketika ini.

Menurut Anbalagan, lelaki berusia 63 tahun itu ditahan di hadapan Balai Polis Bayan Lepas, pada jam 12.50 tengah hari ini (Isnin).

Katanya, lelaki berkenaan juga merupakan penduduk di pangsapuri berkenaan dan bekerja sebagai penjaga kedai snooker.

Anbalagan berkata, siasatan ke atasnya tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan COVID-19 dan disahkan negatif oleh pihak hospital setelah pemeriksaan dilakukan.

Suspek akan didakwa di Mahkamah Balik Pulau esok mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.