Polis menahan seorang lelaki bersama dadah seberat 4.2 kilogram dianggarkan bernilai lebih RM200,000 dalam satu serbuan di kawasan Taman Teluk Likas, dekat sini, pada 31 Oktober lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, lelaki warga tempatan berusia 35 tahun itu ditahan berdasarkan maklumat awam dan risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu.

Jelasnya, ketika operasi, polis telah melihat suspek dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan kaki dan menjinjit sebuah beg plastik dengan tangan kanannya dan kemudian duduk di kawasan taman berkenaan seperti sedang menunggu seseorang.

"Tidak lama selepas itu, polis menghampiri suspek dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menahan serta membuat pemeriksaan terhadapnya. Semasa pemeriksaan itu, polis menjumpai empat bungkusan plastik berisi bahan hablur disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.

"Pemeriksaan lanjut polis mendapati berat kasar dadah itu lebih kurang 4.227 kilogram yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000. Ini adalah rampasan dadah terbesar IPD Kota Kinabalu setakat ini," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis IPD KK ACP Habibi Majinji, di sini hari ini.

Siasatan lanjut mendapati suspek mendapat bekalan dadah tersebut daripada seorang rakan di Semenanjung yang menghantar dadah itu melalui perkhidmatan kurier.

Suspek direman sehingga 7 November ini dan Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.