Polis mengesahkan seorang lelaki ditahan kerana cuba memanjat pagar untuk masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy, lelaki berkenaan dikesan melakukan cubaan itu jam 6.30 petang.

"Polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 33 tahun yang mana dia cuba untuk panjat pagar masuk ke perkarangan mahkamah.

"Lelaki itu telah dibawa ke balai polis terdekat untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Terdahulu, kawasan luar perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dibanjiri kira-kira 700 individu yang dipercayai penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak awal pagi.

Seramai 200 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul terlibat dalam mengawal keadaan di sekitar kompleks mahkamah.