Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai memperdayakan lelaki warga emas dengan menawarkan pembelian rumah menerusi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang tidak wujud membabitkan kerugian RM31,000 bulan lalu.

Suspek berumur 28 tahun itu ditahan di hadapan sebuah kedai makan di Desa Murni, Kuala Kerdau di Temerloh, kira-kira jam 7.36 malam Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku 20 Februari lalu apabila suspek berjumpa dengan mangsa berusia 65 tahun dan menawarkan rumah PR1MA dengan harga RM100,000 sebuah.

"Mangsa bersetuju sebelum membuat bayaran RM7,500 sebagai bayaran pengurusan dan peguam bagi empat buah rumah PR1MA iaitu dua unit di Kuala Krau dan dua unit di Anak Bukit, Kedah.

"Kemudian mangsa membuat penambahan bayaran sehingga kesemuannya berjumlah RM 31,000 untuk beberapa urusan bagi empat unit rumah berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada 24 Februari lalu, mangsa bertanyakan kepada anaknya yang tinggal di Kedah berkenaan dengan rumah PR1MA di Anak Bukit, namun anaknya memberitahu tidak wujud rumah berkenaan di kawasan itu.

"Selepas itu, mangsa bertanyakan kepada suspek sebelum berjanji untuk membuat bayaran balik, namun tidak berbuat demikian sebelum mangsa membuat laporan polis.

"Suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh sehingga 18 Mac ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.