Lelaki ditangkap suspek jual minyak tanpa permit

Lelaki ditangkap suspek jual minyak tanpa permit
Anggota KPDNHEP Sandakan yang menjalankan risikan sejak dua minggu lalu berjaya mengesan kegiatan menjual minyak tanpa permit itu. - Foto KPDNHEP
SANDAKAN: Seorang lelaki disyaki penjual minyak tanpa permit tergamam selepas dicekup ketika mengepam minyak ke dalam tong pada satu serbuan di sebuah stesen minyak di Bandar Cekpoint, Batu 32, di sini, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.06 pagi itu, lelaki berumur 44 tahun berkenaan gagal mengemukakan sebarang permit bagi menyimpan sebanyak 600 liter diesel dan 200 liter petrol yang dibelinya.

Difahamkan, suspek turut menggunakan lori kargo supaya tong minyak itu tidak dapat dilihat.
Namun, anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sandakan yang menjalankan risikan sejak dua minggu lalu berjaya mengesan aktiviti terbabit.

Semasa pemeriksaan dibuat, suspek sedang mengisi minyak ke dalam tong dan berlaku pemindahan dalam kuantiti yang banyak. Foto KPDNHEP

Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan Abdul Muis Samsudin berkata, semasa pemeriksaan dibuat lelaki itu sedang mengisi minyak ke dalam tong dan berlaku pemindahan dalam kuantiti yang banyak.

"Pemeriksaan lanjut, lelaki itu tidak memiliki permit menyimpan barang kawalan disyaki menyeleweng.

"Lori dan minyak bernilai RM61,704 itu kemudiannya dirampas untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya ketika dihubungi, pada Rabu.

Katanya, minyak itu disyaki diseleweng untuk dijual semula tanpa sebarang permit.