Dua lelaki cedera selepas ditembak ketika sedang makan bersama seorang lagi rakan mereka di sebuah restoran di Jalan Paya Terubong, di sini malam tadi.

Mangsa Khor Chee Loon, 30, cedera di punggung selepas terkena dua das tembakan manakala rakannya berusia 30-an mengalami cedera ringan selepas satu das tembakan berkenaan terkena tangan kirinya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, ketika mereka bertiga sedang makan, seorang lelaki datang ke arah mereka dan melepaskan lima das tembakan sebelum melarikan diri.

"Bagaimanapun rakannya tidak serius manakala seorang lagi rakan mereka tidak mengalami kecederaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini malam tadi.

Mior Faridalatrash berkata kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

"Berdasarkan siasatan polis, mangsa bergaduh dengan beberapa lelaki dan mereka tidak berpuas hati lalu bertindak menembak lelaki itu bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Beliau berkata polis juga telah mengenal pasti lelaki yang melepaskan tembakan dalam kejadian itu dan usaha mengesannya giat dijalankan.

"Mangsa memang nampak suspek yang tembaknya dan dia mengenali lelaki berusia 30-an itu dan saya percaya dengan beberapa maklumat yang diperoleh kami akan dapat mengesannya," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.