Seorang lelaki ditemui mati dipercayai akibat ditetak di Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, di sini pada Rabu.

Mayat mangsa yang dipercayai berusia awal 20an berkemeja T dan berseluar jeans itu ditemukan dengan kesan kecederaan di beberapa anggota badan kira kira jam 5.15 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, polis sebelum itu menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berlaku pergaduhan berhampiran tapak Pasar Tani Pangkalan Nyireh.

Susulan itu, polis katanya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa telah meninggal dunia dipercayai ditetak dengan senjata tajam.

Motif kejadian dan butiran mangsa belum dikenalpasti .

Mohd Zamri berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Mayat mangsa dihantar oleh ke Hospital Besut untuk bedah siasat.