Seorang lelaki berusia 45 tahun yang memakai gelang putih ditahan polis kerana melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di Ambangan Height, pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, lelaki itu ditahan di hadapan rumah kongsi 6, dekat Bedong kira-kira jam 11.45 pagi.

Anggota peronda Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang bertugas di kawasan itu ternampak lelaki tersebut sedang berjalan sambil memakai gelang putih.

Ketika disoal, lelaki terbabit gagal memberi alasan munasabah keluar dari kawasan TEMCO.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu didapati melanggar syarat kuarantin.

Adzli berkata hasil siasatan mendapati lelaki itu mengaku keluar dari rumahnya di Taman Bayu Indah 2, Bandar Amanjaya ke rumah kongsi berkenaan untuk bertemu dengan anaknya.

Beliau berkata dia juga mengaku keluar rumah sejak 5 petang 31 Ogos lalu melalui sekatan jalan raya (SJR) 2.

Hasil semakan di SJR 2 mendapati tiada rekod pergerakan dan polis percaya lelaki itu keluar berjalan kaki mengikuti laluan lain memandangkan jarak rumahnya dengan tempat ditangkap hanya lebih kurang 1 kilometer.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan / Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.