Seorang lelaki dan ibu mertuanya maut selepas Perodua Myvi yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler di kilometer 22 Jalan Lipis-Benta berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Benta, di sini awal pagi tadi.

Kejadian jam 1.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Mohd Rosrien Fikri, 32, dan ibu mentuanya Rahimah Yahaya, 64, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob, kejadian berlaku ketika Perodua Myvi yang dipandu oleh Mohd Rosrien dalam perjalan dari Kelantan ke Selangor.

"Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian Perodua Myvi berkenaan dikatakan memasuki laluan treler membawa muatan susu tin sebelum bertembung.

Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta.

"Akibat pertembungan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian. Isteri mangsa Nur Amaliena Hussin, 25, anak perempuannya Nur Adzkiya Sofea berusia setahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis bagi menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Khamis.

Azry Akmar berkata, pemandu lori treler, Amirrudin Lokman, 24, dan kelindannya, Mohamad Azfarizal Ayuhan, 22, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kita tidak percaya pemandu Perodua Myvi dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk sebelum memasuki laluan bertentangan yang menyebabkan kemalangan.

"Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta.