Dua termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori di KM29 Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam, dekat Batu Pahat, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Din Ahmad berkata mangsa yang maut ialah Shahrim Daini, 46, yang bekerja sendiri, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat ketika menjalani rawatan manakala Nur Arlisa Shakira Abdul Rahman, 3, maut di tempat kejadian.

"Kemalangan berlaku pada 10.45 pagi tadi, ketika ketiga-tiga mangsa yang menaiki motosikal Yamaha 125Z sedang dalam perjalanan dari Ayer Hitam ke Batu Pahat.

"Shahrim dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori jenis Isuzu yang hendak membelok ke kanan jalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Din berkata wanita yang berkenaan, Nurul Suhaida Shukor, 23, yang juga ibu kanak-kanak terbabit, kini dalam keadaan separuh sedar di HSNI.

Beliau berkata Nurul Suhaida mengalami patah kaki dan pendarahan kepala manakala pemandu lori yang berumur 56 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan berlaku dalam keadaan cuaca baik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.