Seorang lelaki yang dipercayai memuat naik kenyataan berunsur jelik terhadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim ke laman media sosial, ditahan di Selangor semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata penahanan suspek berusia 48 tahun itu susulan laporan polis yang diterima pihaknya di sini semalam kira-kira pukul 10 pagi berhubung penyalahgunaan laman media sosial.

Tangkapan ke atas suspek itu kemudian dilakukan di Proton Holdings Bhd, Taman Perindustrian HICOM, Batu Tiga dekat Shah Alam, kira-kira pukul 5 petang.

"Polis telah merampas dua buah telefon bimbit jenama Nokia dan Samsung bersama kad sim yang dipercayai digunakan suspek untuk memuat naik kenyataan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Suspek memuat naik kenyataan jelik itu melalui aplikasi kumpulan WhatsApp 'R.O.L.S' menggunakan nama Karim Arim bertujuan untuk menghina serta menyakitkan hati Tunku Ismail.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.