Seorang lelaki sanggup membahayakan diri dengan meniti di atas bumbung, dan memanjat siling di sebuah flat di Mak Mandin, Butterworth bagi mengelak ditangkap penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang.

Bagaimanapun lelaki berusia lingkungan 30 an yang dipercayai berada dibawah pengaruh dadah itu berjaya ditahan selepas dipujuk pasukan penyelamat.

Menurut Pengarah AADK negeri Elmirah Chung kejadian berlaku apabila anggota dan pegawai AADK Seberang Perai Utara bersama anggota polis melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Mak Mandin, Butterworth.

Ketika melakukan pemeriksaan seorang lelaki bergegas melarikan diri sebaik menyedari kawasan terbabit diserbu AADK.

Anggota AADK kemudian mengejar suspek sebelum dia bertindak memanjat bumbung dan cuba memasuki sebuah rumah melalui tingkap.

Beliau berkata, anggota AADK cuba memujuk penagih dadah itu supaya turun namun tidak diendahkan sebelum pihaknya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membantu menurunkan lelaki itu.

Dalam OPS Cegah yang dilakukan bermula jam 9 malam disekitar kawasan Kuala Muda, Penaga dan Mak Mandin itu, seramai empat lelaki berjaya ditahan.

Ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka positif dadah.

Kesemua lelaki itu dibawa ke pejabat AADK Seberang Perai Utara (SPU) dan direman untuk tindakan selanjutnya.