Seorang lelaki yang dikenali sebagai Kam Kah Kit berumur sekitar 20 tahun maut selepas lemas di Air Terjun Batu Berangkai, di sini pada Jumaat.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.30 pagi.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar bergegas ke lokasi kejadian dan dimaklumkan oleh pihak polis bahawa seorang mangsa dipercayai lemas di kawasan tersebut.

"Selepas itu, anggota yang terlibat memulakan operasi pencarian mangsa.

"Kejadian melibatkan seorang mangsa lelaki berbangsa Cina, berumur 20 tahun lemas dan disahkan maut oleh pihak perubatan di lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, anggota bomba menemui mayat mangsa dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Hariry Kamarudin itu tamat pada pukul 11.33 pagi.