SUNGAI SIPUT:Seorang lelaki ditemui lemas selepas dikatakan terjatuh ketika mengutip bunga teratai di sebuah lombong di Taman Muhibbah Jaya dekat sini, hari ini.

Mangsa, M L Jayasingam, 51 tahun, telah pergi ke lombong itu bersama seorang rakan, yang kemudiannya memaklumkan ternampak mangsa terjatuh ke dalam lombong.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 8.27 pagi.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, seorang saksi menyatakan bahawa rakannya telah terjatuh ke dalam lombong.

Foto JBPM Perak

“Kerja-kerja pencarian menggunakan kaedah ‘surface searching’ telah dilakukan oleh anggota dengan bantuan Pasukan Pencarian di Air (PPDA) Kuala Kangsar,” katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap itu berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 10.15 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Foto JBPM Perak