Seorang lelaki yang melontar bom ikan ke arah anggota Pasukan Polis Marin (PPM) ditembak mati semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Peter Anak Umbuas berkata kejadian berlaku pada tengah hari ketika enam anggota PPM sedang berada di sekitar perairan Nusa Kuya, Pulau Bumbum apabila mereka terserempak dengan sebuah bot yang dinaiki seorang lelaki dan dua orang kanak-kanak.

"Anggota PPM melihat lelaki berkenaan sedang membakar sesuatu di dalam botnya dan tidak lama selepas itu, satu objek berbentuk botol dipercayai bom ikan dibaling ke arah bot anggota polis.

"Objek itu terjatuh ke dalam air dan meletup. Selepas itu satu lagi objek yang sama dibaling oleh lelaki tersebut ke arah bot polis, tetapi objek itu juga jatuh ke dalam air dan meletup," katanya.

Peter berkata bagi melindungi diri mereka, anggota PPM melepaskan dua das tembakan ke arah lelaki tersebut yang lelaki itu kemudiannya terjatuh di dalam botnya.