Seorang lelaki maut dipercayai akibat dilanggar kereta api selepas bahagian-bahagian badannya ditemui berselerak sekitar landasan di Kilometer 29.911, Sungai Petani-Butterworth berhampiran Taman Keladi, Sungai Petani pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 9.46 pagi daripada seorang lelaki yang bertugas melakukan rondaan di landasan keretapi, yang memberitahu terjumpa bahagian kaki manusia di kawasan itu.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku di kawasan terowong landasan kereta api Taman Keladi, melibatkan seorang lelaki yang dikenali sebagai K.Poobalan, 27, yang dipercayai dilanggar kereta api yang mengakibatkan anggota badannya terputus kepada empat bahagian.

Menurutnya anggota badan pertama yang ditemui ialah kaki kanan, yang dijumpai kira-kira 200 meter di arah utara landasan menghala ke Alor Setar.

"Bahagian-bahagian lain iaitu kepala, kaki kiri, dan perut dijumpai 350 meter arah selatan menuju ke Butterworth manakala serpihan otak, perut, tempurung kepala dan isi badan yang lain ditemui berselerak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Adzli berkata serpihan mayat dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat dan kejadian itu mungkin berlaku awal pagi tadi berikutan keadaan mayat yang masih kemerah-merahan.

"Kita turut menemui kad pengenalan milik lelaki itu di tempat kejadian dan salah seorang ahli keluarganya yang ditemu bual memaklumkan bahawa lelaki itu merupakan seorang kaki botol, tetapi kita masih sedang jalankan siasatan.

"Majikan lelaki itu juga memaklumkan bahawa tidak pasti sama ada lelaki itu bekerja atau tidak semasa kejadian berlaku," katanya.

Beliau berkata pihak polis masih menunggu maklum balas daripada Keretapi Tanah Melayu Bhd untuk mendapatkan maklumat berkaitan jadual perjalanan kereta api dalam tempoh 24 jam ini.

-- BERNAMA