Seorang pekerja swasta maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) pada Ahad.

Kejadian sekitar jam 7.45 pagi itu berlaku di kilometer 117 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Jambatan Sungai Mak Ikar, di sini.

Motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang mangsa, Roslan Mohd, dipercayai dirempuh dari arah belakang oleh sebuah Proton Exora yang dipandu seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Kedua-dua kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan dari arah pekan Kemasik menuju ke pekan Kerteh.


Foto: Astro AWANI

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.