Seorang lelaki berusia 33 tahun maut akibat ditikam dalam sebuah restoran makanan segera di Gual Tinggi, di sini petang tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Lee Boon Guan.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad, mangsa ditikam sebanyak dua kali di dada dan bahagian belakang dan maut di tempat kejadian.

Katanya dalam kejadian sekitar jam 5.45 petang itu, mangsa dikatakan sedang makan bersama rakan wanita di tingkat satu restoran berkenaan.

"Mangsa dipercayai sedang menikmati makanan bersama seorang wanita berusia 30-an di tingkat satu premis berkenaan yang merupakan rakan sekerjanya.

"Ketika sedang makan, mangsa telah didatangi oleh seorang lelaki berusia 30-an yang membawa beg galas dan sempat bercakap beberapa patah perkataan sebelum suspek mengeluarkan sebilah pisau," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Ibrahim memberitahu, setelah ditikam mangsa berlari turun sebelum rebah di atas tangga, manakala suspek melarikan diri melalui pintu belakang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.