Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta yang dinaiki dua pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di KM54, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Amran Sidek berkata dalam kemalangan pada pukul 1.50 tengah hari itu, mangsa Rusli Hamid, 52, yang bekerja sendiri, disahkan meninggal di tempat kejadian yang terletak berhampiran Institut Kemahiran Belia Negera (IKBN) Paloh Hinai, di sini.

Isteri mangsa, Fairus Liza Osman, 48, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan di sini, patah kaki kanan.

Beliau berkata pelajar berkenaan, Wan Muhammad Syafi Idham Wan Sulong, 18, dari Bandar Baru Bangi, Selangor dan rakannya Darwisya Adilah Asri, 19, dari Mantin, Negeri Sembilan, turut cedera dalam kemalangan itu.

"Kemalangan berlaku apabila kereta mangsa dirempuh dari hadapan oleh kereta yang dinaiki penuntut UNITEN yang dipercayai cuai dan masuk ke laluan bertentangan," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Pekan untuk di bedah siasat sementara mangsa cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

-- BERNAMA