Seorang lelaki maut selepas kereta yang dinaikinya terjunam ke dalam laut sedalam tiga meter di Jalan Tanjung Lipat, pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata mangsa dikenali sebagai Kelvin Chong Chew, 30, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak hospital.

Menurut jurucakap berkenaan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 6.19 pagi sebelum menghantar sebuah jentera bersama sembilan anggota yang tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.

Pihak bomba masih membuat tinjauan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada lagi mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.

--BERNAMA