Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Medan Selera, berhampiran MH Hotel Ipoh pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar 7.30 pagi itu, kenderaan mangsa telah terbabas di bahu jalan dan melanggar sebuah tokong kecil sebelum mangsa maut di lokasi kejadian.

Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Mahir Saad berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.56 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

"Setibanya kami di tempat kejadian, didapati kenderaan mangsa jenis Proton Iswara Aeroback telah terbabas dan memasuki parit besar di lokasi.

Tokong di tepi bahu jalan pecah dilanggar kereta mangsa. - Astro AWANI
"Pihak perubatan hospital juga mengesahkan mangsa berusia 20-an yang berada di tempat duduk pemandu (tidak tersepit) maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mohamad Mahir berkata pihaknya telah menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa sebelum kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.56 pagi," ujarnya.