Seorang pemandu lelaki maut dalam satu kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta dan dua treler di KM180.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, tengah hari tadi.

Mangsa, Lee Boon Peng, 51, dari Ayer Itam, Pulau Pinang maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah setelah terperangkap dalam kereta dan tersepit di antara dua treler dalam lorong laluan sama.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Penguasa Bomba Kanan II, Nazrizal Safila Abu Samad berkata, seramai enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian setelah pihaknya menerima panggilan awam pada jam 12.24 tengahari tadi.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kemalangan melibatkan dua treler dan sebuah kereta jenis Nissan Almera.

"Dalam kereta terbabit ada seorang lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas 'Rescue Tool'.

"Sejurus kemudian, mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada media di sini hari ini.

Sehingga jam 2.45 petang tadi, Sinar Harian difahamkan kerja-kerja pembersihan masih dilakukan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob sewaktu dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Polis juga sedang mengenal pasti punca kejadian dan faktor menyebabkan kereta dipandu mangsa tersepit di tengah-tengah dua treler dalam lorong yang sama," katanya.