Lelaki maut terseret dalam nahas di LPT2

Lelaki maut terseret dalam nahas di LPT2
Nahas berlaku di Kilometer 326 selepas susur masuk Plaza Tol Kerteh, Kemaman, Terengganu, kira-kira jam 9.40 malam pada Jumaat. -Astro AWANI
KEMAMAN: Seorang lelaki maut akibat terjatuh lalu terseret beberapa meter setelah motosikal yang ditunggangnya terbabas di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Nahas berlaku di Kilometer 326 selepas susur masuk Plaza Tol Kerteh, Kemaman, Terengganu, kira-kira jam 9.40 malam pada Jumaat.

Mangsa, Muhammad Nur Afifi Abdul Rahman, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y-15 bersendirian dari Kuantan menghala ke Kuala Terengganu hilang kawalan sebelum terbabas dan terseret di atas jalan.

Sepasukan anggota perubatan yang tiba sejurus kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Jenazah Muhammad Nur Afifi dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.