Seorang lelaki berusia 47 tahun ditahan kerana mengaku sebagai anggota polis Singapura di sebuah kafe di Jalan Bercham, di sini pada petang Selasa.

Malah, lelaki tersebut turut memiliki pistol tiruan serta gari yang diselitkan pada tali pinggangnya ketika ditahan sekitar jam 7.30 petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut termasuk menghubungi polis Singapura berhubung status suspek.

“Mengikut siasatan, suspek merupakan seorang peniaga di kawasan berkenaan. Dia juga mengatakan dirinya salah seorang penguatkuasa di Singapura.

“Kita akan dapatkan pengesahan samada dakwaan itu benar atau tidak. Kalau tidak, kita akan tuduh dia kerana memiliki pistol palsu.

“Lelaki tersebut merupakan warga tempatan, dan mempunyai pasport. Dia ada simpan gari dan pistol palsu, jadi itu mencurigakan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, di sini pada Rabu.

Tambahnya, pihaknya menjangkakan bakal mendapat keputusan berhubung status suspek hari ini jika polis Singapura beri maklum balas.