Lelaki mengaku tidak bersalah muat naik video kenyataan jelik

Lelaki mengaku tidak bersalah muat naik video kenyataan jelik
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - Astro AWANI
IPOH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan memuat naik video yang mengandungi kenyataan bersifat jelik yang menyakitkan hati orang lain dan mendatangkan kemarahan sesuatu kaum di samping menggugat ketenteraman dan keselamatan awam pada Februari lalu.

Tertuduh, T. Arunakirinathan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang tidak bekerja, didakwa memuat naik satu video kenyataan-kenyataan yang bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa memuat naik satu video kenyataan-kenyataan yang bersifat jelik yang boleh mendatangkan kemarahan kepada kaum lain serta memecahkan keamanan awam, menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui laman sosial Facebook 'Arunakiri Nathan II' pada jam 11.52 malam 15 Februari lalu dan dilihat yang dilihat di Panorama Lapangan Perdana, Kampung Rapat di sini 19 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azhar Mokhtar dan dibantu Mohd. Waffy Ismail serta Jean Siow Chung Hwei.

Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan kediamannya pada 1 haribulan setiap bulan.

Hakim menetapkan 17 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Tag: mahkamah, arunakirinathan, akta komunikasi dan multimedia, kanun keseksaan, facebook, media sosial, kenyataan jelik



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.