Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini, pada Khamis kerana didakwa mencederakan seorang penghantar makanan wanita.

Hii King, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Shazleena Shazmi, 24, dengan menendang wanita itu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau didenda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan niat mengganggu kesantunan Shazleena dengan menunjukkan isyarat lucah, justeru melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

King yang juga pesara didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Jalan Puteri 9/1, Bandar Puteri, Puchong, kira-kira jam 4.10 petang, pada Isnin lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid memohon mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 ke atas tertuduh selain syarat tambahan supaya dia tidak mengganggu atau menghampiri mangsa dan saksi kejadian.

Bagaimanapun, Mohd Ikhwan kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain menetapkan 16 Julai ini bagi sebutan semula kes.

BACA: Polis siasat kes penghantar makanan wanita ditendang hingga jatuh

Sebelum ini, media melaporkan mengenai satu kejadian perselisihan faham di antara seorang pekerja penghantar makanan dengan tertuduh yang ketika itu sedang memandu kereta di Jalan Puteri 9/1, Bandar Puteri, Puchong.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, tertuduh dikatakan memarahi mangsa kerana memotong kereta dipandunya ketika dia mahu membuat pusingan-U.

Warga emas itu turut didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa dan menendangnya beberapa kali sehingga mangsa terjatuh.