Polis Sarawak percaya pihaknya dapat menyelesaikan satu kes sumbang mahram melibatkan seorang pelajar 14 tahun yang cuba membunuh diri selepas mengandung lima minggu akibat dirogol datuk tirinya sendiri pada bulan lalu.

Bagaimanapun kes menjadi rumit selepas suspek yang berusia 54 tahun terlebih dahulu membunuh diri dengan meminum racun perosak, sebaik mengetahui perbuatannya terbongkar dan polis akan mencekupnya.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, kes bermula apabila sekitar jam 2.50 pagi, 21 September lalu, polis Sri Aman telah dimaklumkan oleh pihak hospital berhubung seorang pelajar perempuan yang dimasukkan ke dalam wad kerana mengalami kecederaan belakang.

"Sebelumnya, mangsa dikatakan telah membuat cubaan bunuh diri dengan terjun dari tingkat satu bangunan asrama sekolahnya.

"Pemeriksaan perubatan lanjut kemudian mendapati mangsa hamil lima minggu namun polis gagal mendapatkan kerjasama mangsa untuk mengetahui akan motif cubaan bunuh diri atau siapa bapa kepada anak yang dikandungnya.

Pada 27 September, mangsa akhirnya menceritakan masalahnya kepada seorang pekerja sosial hospital berkenaan dan mendedahkan dia telah dirogol dua kali oleh datuk tirinya pada Ogos lalu.

Susulan pengakuan tersebut, kata Dev, pekerja perubatan sosial terbabit telah membuat laporan polis.

Siasatan awal polis kemudian mendedahkan kejadian berlaku pada awal Ogos lalu apabila suspek menjemput mangsa pulang dari asrama dan membawanya pulang untuk cuti hujung minggu.

"Bagaimanapun, suspek tidak membawa mangsa pulang, sebaliknya membawanya ke pondok duli kawasan ladang kelapa sawit sebelum memperkosanya.

"Suspek mengulangi perbuatannya seminggu kemudian di rumah panjang keluarganya di Sembayang, Sri Aman.

Mangsa dikatakan diperkosa di ruang tamu ketika semua ahli keluarganya sedang lena tidur.

Kes kemudian disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan pegawai siasatan jenayah Sri Aman kemudian bertindak mengesan suspek.

Sekitar jam 11 malam semalam, kata Dev, sepasukan anggota siasatan jenayah Sri Aman telah menyerbu sebuah pondok di kawasan sawah milik suspek di Sembayang dekat sini.

"Malangnya pasukan menemui suspek dalam keadaan terbaring, tidak sedarkan diri dengan mulut berbuih.

"Suspek kemudian dikejarkan ke hospital menggunakan kenderaan polis dan mati pada jam 5 pagi tadi, sebelum sempat dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak," kata Dev lagi.