Perselisihan faham dipercayai punca seorang lelaki Myanmar maut ditikam rakan senegara dalam kejadian pergaduhan di sebuah rumah dua tingkat, di Jalam Siam, George Town pada Ahad.

Kejadian disedari kira- kira jam 10 pagi oleh majikan mangsa yang datang ke rumah berkenaan.

Mayat lelaki berusia 29 tahun itu, dijumpai di ruang tamu rumah berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa tikaman di dada, rusuk dan belakang badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan setakat ini pihak polis telah menahan sebelas lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, seorang daripada suspek yang ditahan mengaku melakukan pembunuhan itu dan memberitahu telah menikam mangsa.

Difahamkan, mangsa dan rakan-rakannya tinggal di rumah terbabit kerana melakukan kerja-kerja ubah suai di bangunan berhampiran.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang ( HPP) untuk bedah siasat.

Kes disiasat dibawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan kerana membunuh.