Tutup

Lelaki parah dipukul, sepupu buat laporan polis

Lelaki parah dipukul, sepupu buat laporan polis
Hasil siasatan mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa dengan kira-kira tujuh suspek yang identitinya sedang dikenal pasti.
TAWAU: Seorang wanita tampil membuat laporan polis selepas sepupunya terlantar di Hospital Tawau, dipercayai akibat ditikam dan dipukul di kawasan antara Lorong Jalan Merdeka 3 dan bank CIMB di Fajar di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata wanita tempatan berusia 39 tahun itu membuat laporan itu selepas pergi ke hospital pada 4.46 pagi untuk melawat sepupu lelakinya berusia 35 tahun yang cedera parah dalam pergaduhan pada 1.30 pagi.
Fadil berkata, mangsa yang dibawa ke hospital oleh orang awam cedera dengan kesan tikaman satu sentimeter di perut kanan serta luka di perut kiri dan bahagian pipi kiri.

Bagaimanapun, katanya, pihak hospital tidak dapat menjalankan rawatan ekoran mangsa tiada dokumen pengenalan diri serta waris untuk menandatangani borang rawatan susulan.
"Ekoran itu sepupu mangsa membuat laporan bagi memaklumkan kejadian itu kepada polis, selain mangsa dalam proses permohonan kad pengenalan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Fadil berkata, hasil siasatan mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa dengan kira-kira tujuh suspek yang identitinya sedang dikenal pasti.

Katanya, salah seorang suspek dipercayai menggunakan motosikal jenis 125z berwarna biru.

Sehubungan itu, pihaknya sedang mengesan saksi awam berhubung kes tersebut.