Seorang lelaki cedera parah akibat ditetak menggunakan parang, disyaki akibat dendam, dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Keladi, di sini.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, suspek sebelum itu mengunjungi rumah mangsa bersama beberapa orang rakannya.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Shamsudin Mamat, ketika kejadian, mangsa yang berada di kawasan parkir rumah sedang membaiki motosikal.

“Suspek bersama beberapa orang lelaki datang dalam keadaan marah, memegang sebilah parang. Dan mangsa telah lari masuk ke dalam tandas di dalam rumah.

“Suspek telah bertindak mengejar mangsa sehingga ke tandas dan menetak pintu tandas bertubi-tubi sehingga ia terbuka,” katanya kepada media hari ini.

Menurut Shamsudin, mangsa cuba menepis mengunakan tangan, bagaimanapun libasan parang itu mengenai tangan kirinya menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak.

Katanya, ketika kejadian, bapa dan ibu mertua mangsa cuba menghalang dan memarahi suspek serta memintanya keluar dari rumah.

“Bagaimanapun, suspek telah menyiku bapa dan menolak ibu mertua mangsa sehingga jatuh sebelum melarikan diri bersama rakannya.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Lelaki berusia 29 tahun itu dikesan mengalami kecederaan parah pada tangan kiri di bahagian tapak tangan selain terdapat kesan luka dalam akibat tetakan sepanjang 3cm.

Doktor mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil meskipun cedera parah.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek ekoran keluarga mangsa pernah membuat laporan polis mengatakan suspek membuat ugutan di rumahnya sebelum ini.

Suspek berjaya ditangkap di kawasan Taman Paya Keladi dan usaha mengesan rakan suspek yang lain sedang dilakukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.