Seorang lelaki yang merupakan anggota geng pecah kedai berjaya ditahan ketika sedang memecah masuk sebuah kedai menjual pelbagai minuman teh di Jalan Icon City, Bukit Tengah di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pemilik kedai berkenaan kira-kira pukul 1.30 pagi selepas mendapat maklumat premis perniagaannya dipecah masuk dua lelaki.

"Lelaki itu mendapat maklumat berhubung kejadian itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedainya menerusi telefon bimbitnya sebelum bersama seorang rakan ke premis berkenaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata semasa mereka sampai mendapati terdapat kesan umpil di bahagian kunci pintu masuk premis berkenaan dan terdapat seorang lelaki sedang mengambil sesuatu di bahagian kaunter bayaran kedai tersebut.

Katanya mereka terus menahan lelaki itu dan merampas wang sebanyak RM200 hasil perniagaan kedai daripadanya sebelum menghubungi polis serta menyerahkan suspek kepada pihak berkuasa.

Nik Ros Azhan berkata berdasarkan siasatan lelaki itu menjalankan kegiatan pecah kedai berkenaan bersama seorang lagi rakannya berusia 30-an dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

"Rakannya dipercayai bertindak menjaga pintu kedai semasa suspek yang ditahan itu mencuri barangan di dalam premis berkenaan namun dia melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pemilik kedai pelbagaiminuman teh tersebut," katanya.

Katanya berdasarkan siasatan dua lelaki itu dipercayai giat menjalankan kegiatan pecah kedai di sekitar daerah SPT sejak beberapa bulan lepas.

Beliau berkata lelaki yang tidak bekerja dan penagih dadah serta mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA