Polis sedang memburu seorang lelaki selepas disyaki merakam aksi seorang peguam wanita sedang membuang air kecil di sebuah tandas sebuah stesen minyak di Batu Tiga, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, lelaki yang masih belum dikenal pasti identitinya itu diburu selepas mangsa berusia 34 tahun membuat satu laporan polis pada Khamis.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku pukul 11.15 malam Khamis apabila suspek mengekori wanita tersebut sehingga memasuki tandas berkenaan.


Suspek yang bersendirian dan memegang telefon bimbit dikatakan cuba merakam mangsa yang sedang membuang air kecil melalui ruang bawah pintu sebelum perbuatan itu disedari mangsa.

Mangsa kemudiannya menjerit sebelum menyemburkan air paip kepada suspek yang kemudiannya berjaya melarikan diri.

Jelas beliau, pihaknya telah mengambil rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat di stesen minyak itu untuk siasatan lanjut.