Seorang lelaki rentung dalam kejadian kebakaran di rumahnya di Jalan Keembong 18, Taman Johor Jaya, di sini, petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang di rumah teres dua tingkat itu, mangsa yang maut dikenali sebagai S.Krishnan, 55, yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan lima tahun lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Fauzan Ahmad berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 6.05 petang sebelum dua jentera bersama 20 anggota dikejarkan ke lokasi bagi memadam kebakaran.

Katanya ketika tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati kebakaran itu telah pun memusnahkan sepenuhnya bahagian tingkat atas rumah terbabit.

"Semasa kejadian, terdapat empat orang (anggota keluarga) di dalam rumah tersebut termasuk mangsa yang berada di tingkat atas.

"Tiga daripadanya iaitu isteri, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan mangsa berada di bahagian bawah rumah dan tidak perasan mengenai kebakaran sehinggalah ada jiran menjerit kerana ternampak asap keluar dari bahagian belakang rumah.

"Kebakaran kemudian turut merebak ke rumah jiran sehinggalah kira-kira 15 peratus bahagian tingkat atas rumah musnah," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Menurut Fauzan, berdasarkan keadaan mangsa, bomba percaya terdapat kelewatan dalam memanggil pasukan keselamatan untuk memadamkan kebakaran.

Katanya, punca kejadian masih disiasat dan mayat mangsa pula telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA