Seorang lelaki etnik Rohingya yang dilaporkan melarikan diri dari Pusat Kuarantin COVID-19 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan pada Ahad sudah berjaya ditahan, ujar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Lelaki itu kemudian telah dimasukkan semula ke pusat kuarantin berkenaan.

"(Lelaki itu) sudah ditangkap. Yang lari itu sudah ditangkap dan dimasukkan balik ke hospital," katanya dalam sidang media harian di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, Balai Polis Tanjung Rambutan menerima laporan kehilangan lelaki dikenali sebagai Rohim Mohd Zokoria yang disedari hilang oleh petugas pusat berkenaan pada jam 11 pagi, Ahad.

Lelaki berkenaan dihantar ke pusat kuarantin pada Sabtu selepas ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Muallim.