Seorang lelaki maut ditembak selepas cuba menyerang anggota polis dengan pisau pemotong buah dalam kejadian di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dekat sini pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 3.10 petang tadi, lelaki berusia 41 tahun dari Klang, Selangor itu maut akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang memaklumkan lelaki itu cuba menyerang anggota polis dengan sebilah pisau sepanjang tujuh inci.

Ketika kejadian, polis sedang meleraikan pergaduhan di antara lelaki terbabit dengan seorang lelaki lain berusia 70 tahun.

Katanya, anggota polis yang bertugas di Pondok Polis Komtar yang menyedari pertengkaran kedua-dua lelaki berkenaan cuba meleraikan pertengkaran di antara mereka namun anggota polis terbabit pula diserang menyebabkan dia terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai 15 rekod kesalahan lampau berkaitan kes pecah rumah, mencuri, melakukan ugutan dan kesalahan dadah.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada pihak polis di balai berdekatan.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.