Seorang lelaki yang sedang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bertindak melarikan diri sebelum terjun ke laut dalam kejadian yang berlaku jam 9 malam pada Jumaat.

Pesakit berkenaan, Wan Mohd Azren Wan Abdullah, 32 tahun, dipercayai mempunyai masalah mental.

Ketika kejadian, beberapa saksi memberitahu mereka mendengar jeritan sorang wanita sebelum melihat lelaki itu secara tiba-tiba bertindak melarikan diri ketika mendapatkan rawatan di unit kecemasan hospital tersebut.

Wan Mohd Azren kemudian dilihat meninggalkan pakaiannya dan berlari ke arah Pantai Batu Burok sebelum terjun ke dalam laut.



Pihak Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Gerakan mencari dan menyelamat disertai dua jentera bomba bersama 13 anggota termasuk Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikerah bagi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas.