SUNGAI PETANI: Seorang lelaki sanggup bertindak terjun dari tingkat satu sebuah flat sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melakukan serbuan di kawasan rumah pangsa di Sungai Petani, petang Isnin.

Dalam serbuan bermula jam 5.30 petang itu, lelaki berusia 20-an itu bagaimanapun tidak cedera dan berjaya melarikan diri daripada dicekup.

Bagaimanapun, ibunya yang berusia 47 tahun berjaya ditahan bersama seorang lelaki berusia 39 tahun kerana disyaki terbabit dengan penagihan dadah.

Ketua Pegawai AADK Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, mereka dipercayai menjadikan rumah yang didiami mereka di flat itu sebagai port penagihan dadah.

Beliau berkata, wanita dan lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut malah hasil ujian saringan awal mendapati mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Dalam serbuan berasingan di sebuah kawasan perumahan di kawasan Sungai Petani, empat individu yang disyaki penagih dadah cuba bersembunyi di stor belakang rumah untuk mengelak dari ditahan.

"Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arnida berkata, operasi yang berakhir jam 11 malam itu tertumpu di sekitar kawasan Sungai Petani,Tikam Batu, Kota Kuala Muda berdasarkan maklumat awam yang diterima.

Beliau berkata, 10 individu ditahan termasuk dua wanita berusia antara 24 hingga 49 tahun.

"Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

"Empat daripadanya direman di lokap AADK Kuala Muda manakala enam lagi dibebaskan dengan jaminan bersyarat," katanya.

Arnida berkata, kesemua individu yang ditahan kemudian dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk dijalankan ujian saringan awal air kencing.

Bagaimanapun, hasil keputusan mendapati kesemua mereka positif dadah dan dua daripadanya positif dadah jenis morfin dan methamphetamine dan tujuh lagi positif dadah jenis methamphetamin manakala seorang lagi positif ganja.