Seorang lelaki warga Myanmar yang tular di media sosial selepas merompak seorang pembantu jururawat wanita semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini.

Mohd Yahya Mohd Kasim, 21, yang tidak bekerja mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Tertuduh didakwa merompak Nurashikin Azly, 22, dengan mengambil kad pengenalan, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kad perakam waktu dan surat kebenaran bekerja milik mangsa di Jalan Bandar Rawang, Gombak di sini pada 7.50 malam, 23 Mac lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang diwakili peguam Azman Abdullah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Hakim Maziah Joary menetapkan 14 Mei untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang sedang membuka pintu pagar rumahnya didatangi suspek dari arah belakang dan meragut beg tangannya.

Mangsa tidak mengalami kecederaan tetapi kehilangan beberapa barangan peribadi seperti dokumen pengenalan, kad bank dan dokumen pejabat.

Satu rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu turut viral di media sosial.

-- BERNAMA