Sudahlah ditahan bawa rokok seludup, dua warga asing malah berani menyogok pegawai polis dengan wang tunai berjumlah RM7,000.

Dalam kejadian jam 3.30 petang di Jalan Ulu, Putatan pada Isnin, dua lelaki warganegara Pakistan berusia 35 dan 45 tahun itu dikatakan cuba menawarkan wang tunai berkenaan sebagai balasan mereka dibebaskan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata aktiviti suspek pada mulanya terbongkar selepas kereta jenis Perodua Bezza dinaiki mereka ditahan di lokasi kejadian.

Hasil pemeriksaan, polis kemudiannya menemukan ratusan karton rokok pelbagai jenama yang dipercayai cuba diseludup dan diagihkan ke premis-premis runcit di sekitar Putatan.

"Siasatan awal di lokasi mendapati suspek gagal mengemukakan pembelian bercukai dari kastam yang merupakan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.

"Namun salah seorang daripada suspek telah mengeluarkan dan memberikan wang sogokan berjumlah RM7,000 sebagai ganjaran sekiranya kedua-dua mereka bersama barang seludup dilepaskan," kata Mazli.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, malam tadi.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim.

Mengulas lanjut, Mazli berkata kedua-dua suspek dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, selain tangkapan, polis turut merampas 755 karton rokok pelbagai jenis serta wang tunai RM37,409.

"Kes bersabit rokok seludup disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Penampang manakala kes sogokan telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut," katanya.

Selain itu menurut Mazli, kedua-dua suspek turut berhadapan dengan siasatan kes mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan juga didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Peraturan 11 (1) Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.