Seorang lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak hari ini atas pertuduhan membunuh majikannya.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Sam Peng Kok, 46 tahun, di sebuah rumah bangsal, kebun sawit Jalan Seng Heng Sagil, Tangkak sekitar 10 pagi hingga 1 petang, 16 Ogos lalu.

Tertuduh Samsul Hadi, 35 tahun, hanya menunduk faham sejurus kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret N.D. Arun.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Tertuduh yang baru tiga hari berkhidmat dengan mangsa itu dihadapkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Prosiding yang dikendalikan pegawai pendakwa Inspektor Siti Alina Mohd Adil tidak mencadangkan sebarang ikat jamin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 16 Ogos lalu, seorang penternak ayam dijumpai mati berlumuran darah di sebuah bangsal yang juga reban ayam miliknya di kebun sawit Jalan Seng Heng Sagil, Tangkak.