Selepas hampir 20 jam operasi mencari seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus deras akhirnya mangsa ditemui 3.15 petang Jumaat.

Kejadian berlaku dekat Sungai Batu 5, Jalan Ipoh berhampiran Masjid Abu Hurairah ibu negara.

Insiden dilaporkan kira kira jam 5.25 petang Khamis ketika empat lelaki warga Indonesia disyaki terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Tiga daripada mereka sempat menyelamatkan diri ke tebing.

Manakala seorang dari rakan mereka yang berusia sekitar 20an hanyut.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Negeri, Khairul Azuan Ibrahim, tindakan awal anggota bomba menggunakan 'surface searching', namun usaha itu ditangguh kira kira jam 8.30 malam Khamis.

Operasi mencari dan menyelamat bersambung pada jam 8 pagi Jumaat.

Mangsa ditemui kira kira satu kilometer dari lokasi dia terjatuh.

Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.