Mayat seorang lelaki warga Myanmar berlumuran darah dengan kesan tikaman di dada ditemukan di hadapan lif di Blok A, Apartment Taman Bunga Tanjung, Jalan Raja Uda di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemukan oleh seorang lelaki kira-kira pukul 10 malam sebelum dia menghubungi polis memaklumkan kejadian berkenaan.

"Susulan penemuan mayat lelaki itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita Myanmar berusia 29 serta 31 tahun yang merupakan kenalan kepada mangsa dan seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun yang merupakan majikan mereka di kawasan kejadian malam tadi.

"Polis juga menahan rakan serumah mangsa juga warga Myanmar berusia 20-an pukul 1.30 tengah hari ini di Butterworth dan sedang mengesan seorang lagi rakan serumahnya juga dari Myanmar," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa dipercayai bertelagah dengan rakan serumahnya sebelum berlarutan hingga bertumbuk dan suspek bertindak menikam lelaki itu dengan pisau di bahagian dada dan lelaki itu kemudian melarikan diri untuk meminta bantuan sebelum mayatnya ditemukan di hadapan lif.

Noorzainy berkata polis juga tidak menolak kemungkinan kejadian berkenaan berpunca daripada perselisihan faham dan tidak berpuas hati antara satu sama lain ketika bekerja di sebuah restoran milik lelaki yang turut ditahan itu, namun siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar masih dijalankan.

Katanya ketiga-tiga warga asing yang ditahan itu bekerja sebagai tukang cuci pinggan di sebuah restoran di Butterworth dan ujian air kencing mereka termasuk lelaki tempatan tersebut mendapati negatif dadah.

"Kami yakin dengan penahanan empat individu termasuk seorang wanita itu dapat membantu siasatan kes bunuh berkenaan dan semua mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA