Gambar bersejarah sebelum sidang media pertama pemimpin Pakatan Harapan (PH) selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh berjaya dilelong pada harga setengah juta ringgit.

Gambar tersebut dibeli oleh seorang pembida tempatan yang hadir ketika Majlis Makan Malam Amal Pakatan Harapan.

Antara lain gambar tersebut dirakam pada 10 Mei lalu dan ditandatangani oleh kesemua barisan kepimpinan PH.

Harga permulaan gambar berkenaan dibuka pada harga RM100,000.

Turut mencatat jualan tertinggi ialah gambar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika hari pertama menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Ia dijual dengan harga RM350,000.00.

Turut dilelong ialah gambar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Jumlah keseluruhan kutipan membabitkan lelongan gambar membabitkan barisan pimpinan Pakatan Harapan yang berjaya dikumpul ialah RM1.22 juta.

Manakala RM1.665 juta berjaya dikutip hasil jualan meja pada majlis amal tersebut.