Seorang penoreh getah di Kampung Nako Nambua, di sini, mengambil inisiatif menjual lemang pada harga murah bertujuan membantu golongan penoreh yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Menurut Muhamad Azmi Mat Rejab, 32, dia menjual lemang bagi menambah pendapatannya sejak seminggu lalu berikutan harga getah yang semakin jatuh.

Katanya, setiap pagi selepas solat subuh, Azmi bersama tiga pembantu akan mencari buluh di sekitar kampung sebelum membakar lemang dan menjualnya sekitar jam 3 petang.

Kebiasaannya lemang dijual pada harga lebih RM10 sebatang, tetapi Muhamad Azmi memilih untuk menjual pada harga lebih murah berikutan dirinya sendiri tidak mampu membeli lemang pada harga biasa dengan pendapatan menoreh getah.

Muhamad Azmi menjual lemang bagi menambah pendapatannya sejak seminggu lalu berikutan harga getah yang semakin jatuh.
"Kita jual lemang harga murah ini untuk bantu orang kampung, bagi semua orang boleh rasa dalam PKP (perintah kawalan pergerakan).

"Insya-Allah ada untung sikit-sikit, ada juga yang bersedekah.

"Dengan keadaan COVID-19, harga getah sekerap yang makin jatuh, hujan lagi. Jadi kalau jual dengan harga tinggi, rasanya ramai yang tak mampu beli di kawasan kampung ini," kata Muhamad Azmi.

Tambahnya, dia amat bersyukur kerana ramai pelanggan datang membeli sehingga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan.

Katanya, setiap hari lebih 200 batang lemang akan terjual.

Muhamad Azmi berkata dia amat bersyukur kerana ramai pelanggan datang membeli sehingga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan.
Muhamad Azmi berkata walaupun menjual lemang pada harga murah, namun dia tidak pernah mengurangkan penggunaan bahan terutamanya santan.

Katanya, kebanyakan pelanggan akan berulang membeli lemang yang dijual kerana berpuas hati dengan harga dan rasanya.

Bagi pelanggan, Abdul Gani Zakaria yang bekerja sebagai petani, dia berpuas hati dengan rasa dan harga lemang yang dijual Muhamad Azmi.

"Dengan RM5 buat masa sekarang memang susah nak dapat. Tak berbaloi kata orang. Tapi dia berani buat, jadi Alhamdulillah.

"Rasa cukup dengan lemaknya. Masuk hari ini, dah dua kali ulang beli," kata Abdul Gani.