Jenazah Silawati Zailan, yang lemas dihanyutkan arus deras ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Sungai Buloh dekat sini, pada Isnin, selamat dikebumikan.

Allahyarham Silawati, 31, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Merbau Sempak, Sungai Buloh, kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Terdahulu, jenazah Silawati dimandi dan dikafankan di Hospital Sungai Buloh sebelum disolatkan di Masjid Nurul Amin, Merbau Sempak dekat sini.

Sepupu arwah, Anor Mohd Yusof, 48, menyifatkan Alllahyarham sebagai seorang yang baik dan peramah terhadap keluarga serta rakan-rakannya.

"Dia (Silawati) seorang yang rajin bekerja dan bertanggungjawab. Saya akan merindui arwah kerana dia amat rapat dengan saya," katanya ketika ditemui Bernama di tanah perkuburan itu.

BACA: Dihanyut arus sungai, tujuh pemancing dikhuatiri lemas

BACA: Saya sempat berpaut sebelum terlepas tangannya - suami cerita detik isteri dibawa arus

BACA: Kesemua mayat pemancing lemas di Sungai Gasi ditemui


Allahyarham meninggalkan suami Mohd Rizal Mat Desa, 31 dan tiga cahaya mata.

Dalam kejadian kira-kira 5.40 petang itu, lapan individu dilaporkan hilang ketika memancing bagaimanapun tiga daripada mereka terselamat.

Selain Silawati, empat lagi yang maut ialah Hashir, 38, seorang warga Indonesia; Jeleha Hashim, 48; Jamaluddin Rapawi, 14, dan bapanya Rapawi Jum'ada, 37.

Tiga mangsa terselamat ialah suami arwah Rizal, Syamsul Azhar Ismail, 33, dan Tain Asik, 31.

-- BERNAMA