BUKIT MERTAJAM:Polis memaklumkan mangsa yang terselamat akibat keracunan karbon monoksida ketika tertidur di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Pulau Pinang akan dibenarkan keluar dari hospital minggu ini selepas dia menunjukkan perkembangan yang sangat positif.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata polis dimaklumkan bahawa Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, yang dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin telah menjalani rawatan fisioterapi hari ini.

Dia kemudiannya akan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan di bahagian otaknya.

Ketika dihubungi pada Rabu, Shafee berkata perkembangan Nor Aqilah semakin positif dan dia tidak menunjukkan sebarang tanda kemurungan selepas dimaklumkan cerita sebenar dan juga kematian kakaknya.

Katanya, doktor turut memberitahu bahawa mangsa akan dibenarkan discaj dalam minggu ini memandangkan telah memberi respon yang positif.

Khamis minggu lalu, Nor Aqilah dilaporkan sedar dari koma selepas seminggu menjalani rawatan.

BACA: Lemas karbon monoksida: Mangsa terselamat sudah sedar dari koma - Polis

Dalam kejadian 17 September lalu, keempat-empat mangsa, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri serta dua beradik kembar Nor Adilah dan Nor Aqilah masing-masing berusia 21 tahun  berhenti rehat hingga tertidur di tempat letak kereta stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing dekat Sungai Petani dan Gurun, Kedah.

Bagaimanapun, empat mangsa yang belajar di sebuah kolej kejurawatan di Batu Caves itu ditemui tidak sedarkan diri oleh salah seorang bapa mangsa di dalam kereta yang dinaiki mereka akibat terhidu karbon monoksida.

Sharifah Fariesha maut di lokasi kejadian manakala Ayuni Shazwanie meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Tidak lama kemudian, Nor Adilah dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.

Manakala kembarnya, Nor Aqilah yang memandu kereta itu menjadi satu-satunya mangsa terselamat dalam insiden berkenaan.

BACA: Kes lemas tidur dalam kereta: Kematian tiga sahabat disebabkan kegagalan pelbagai organ - Polis

Laporan bedah siasat ke atas tiga mangsa yang maut mendapati punca kematian mereka disebabkan terhidu karbon monoksida hingga menyebabkan kegagalan pelbagai organ berfungsi.