Dalam kesesakan trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menjelang hujung minggu ini, ada juga 'tetamu yang tidak diundang'.

Seekor lembu didapati sesat di tepi lebuh raya berhampiran Nilai pada petang Sabtu ketika pengguna lebuh raya ramai yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampung untuk meneruskan sambutan Syawal.

Visual ini sempat dirakam krew Astro AWANI ketika membuat liputan kesesakan trafik sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.





Kejadian berlaku di Kilometer 274.0 PLUS, menghala ke ibu kota, pada kira kira jam 6.46 petang.

Tindakan pantas PLUS Ronda dan pasukan PROPEL bagaimanapun berjaya menghalang haiwan terbabit daripada melintasi lebuh raya.

Dipercayai lembu terbabit datang dari kawasan berhampiran dan melalui kawasan pagar yang rosak sebelum ia dikesan.

Pihak PLUS mengambil masa kira kira 15 minit untuk menghalau lembu terbabit keluar dari kawasan lebuh raya.