Tugas anggota bomba bukan sekadar bertanggungjawab menjaga hal keselamatan manusia sewaktu bencana seperti banjir atau kebakaran.

Dalam keadaan tertentu, panggilan kecemasan yang diterima melibatkan 'makhluk' lain yang sedang dalam situasi terancam atau tertekan.

Itulah yang terjadi apabila sepasukan anggota bomba dirakam menyelamatkan seekor lembu yang terperangkap dalam longkang di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kuala Krai, di sini, pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, lembu terbabit terjatuh ke dalam longkang sedalam 1.5 meter.

Difahamkan, lembu cuba untuk melintas longkang berkenaan namun tidak berjaya melepasinya lalu terjatuh dan terperangkap.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd Razani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam 8.06 pagi.

"Sepasukan sembilan anggota bersama jentera tiba di lokasi kejadian dan melakukan tindakan menyelamat.

"Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengangkat lembu terbabit dengan menggunakan tali dan hos," katanya.

Menurutnya, lembu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.