Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 313.6 kilogram (kg) lengkuas yang dibawa masuk ke negara ini tanpa permit yang sah.

Lengkuas itu ditemui disorok di bahagian belakang lori ketika pemandu kenderaan berkenaan cuba melintasi Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan Malaysia (ICQS) Bukit Kayu Hitam, malam tadi.

Hasil pemeriksaan, lengkuas yang dibawa masuk dari Thailand itu didapati tidak mempunyai dokumen sah seperti permit import dari Jabatan MAQIS dan sijil fitosanitasi dari negara asal.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind berkata, keseluruhan lengkuas yang dirampas itu bernilai RM627.

Katanya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728).

Lengkuas yang dibawa masuk dari Thailand itu tiada dokumen sah. Foto MAQIS

Mengikut Seksyen 11(3) akta sama, sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Lily, pihak MAQIS sentiasa memantau dan memeriksa keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara.

Ia bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanianndan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam mencegah penularan wabak COVID-19.

Lengkuas ditemui disorok di bahagian belakang lori. Foto MAQIS